Kemahiran Lisan
Kemahiran lisan terdiri daripada dua aspek penting iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan, murid-murid perlulah menguasai kedua-dua aspek ini dengan baik terlebih dahulu. Murid-murid yang mahir dalam bahasa lisan akan dapat melahirkan perasaan dan pendapat dengan baik dan akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan orang lain dalam apa jua situasi. Mendengar adalah kemahiran awal yang dikuasai oleh kanak-kanak dalam perkembangan pemerolehan bahasanya. Lundsteen (1979) telah mendefinisikan mendengar sebagai satu proses minda yang memberi makna kepada bahasa pertuturan. Bertutur adalah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator), ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa manusia (Kamarudin Hj. Husin, 1978). Kemahiran bertutur dikuasai oleh murid-murid hasil daripada meniru atau mengajuk pertuturan orang dewasa di sekelilingnya. Rangsangan dan ganjaran yang diterimanya akan menggalakkannya mengulang-ulang perkataan yang disebutnya sehingalah ia dapat menguasai pertuturan yang lebih kompleks. Apabila kemahiran bertutur sudah dikuasai, murid-murid akan mula berinteraksi dengan orang lain di sekelilingya. Sebab itulah orang dewasa perlu menunjukkan model pertuturan yang baik kepada murid-murid bagi membolehkan mereka bertutur dengan berkesan.